Pertabalan Yang di-Pertuan Agong ke-13

Pertabalan Yang di-Pertuan Agong Sultan Mizan Zainal Abidin telah diadakan dalam adat istiadat di-Raja Melayu, di Balairong Seri, Istana Negara, Kuala Lumpur pada hari Khamis, 26 April 2007 pukul 10 pagi sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-13. Seri Paduka Baginda telah dipilih oleh Raja-Raja Melayu pada Mesyuarat Khas Majlis Raja-Raja ke-208 di Istana Negara pada 3 November 2006 bagi tempoh 5 tahun mulai 13 Disember 2006 untuk menggantikan Tuanku Syed Sirajuddin Syed Putra Jamalulail.Pertabalan baginda sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-13 itu mendapat liputan di seluruh negara dan dirakam dan didokumentasikan oleh Radio Televisyen Malaysia, Filem Negara Malaysia, Perbadanan Kemajuan Filem Nasional, National Geographic Channel dan beberapa lagi badan-badan warisan yang lain. Dokumentar National Geographic mengenai pertabalan ini, Becoming A King mula disiarkan rakamannya ke seluruh dunia pada 27 Ogos 2007. Detik bersejarah pertabalan Yang di-Pertuan Agong kali ini adalah pertabalan yang terakhir dilangsungkan di Istana Negara kini sebelum berpindah ke istana baharu.Sistem penggiliran Yang di-Pertuan Agong dalam kalangan sembilan Raja Melayu telah dimulakan sejak kemerdekaan negara pada 31 Ogos 1957.